BUAH RINDU

          1

 

Dikau sambur limbur pada senja

dikau alkamar purnama raya

asalkan kanda bergurau senda

dengan adinda tajuk mahkota.

 

Dituan rama-rama melayang

didinda dendang sayang

asalkan kandaa selang-menyelang

melihat adinda kekasih abang.

 

Ibu, seruku ini laksana pemburu

memikat perkutut di pohon ru

sepantun swara laguan rindu

menangisi kelana berhati mutu.

 

Kelana jauh duduk merantau

di balik gunung dewala hijau

di Seberang laut cermin silau

Tanah Jawa mahkota pulau...

 

Buah kenanganku entah ke mana

lalu mengembara ke sini sana

haram berkata sepatah jua

ia lalu meninggalkan beta.

 

ibu, lihatlah anakmu muda belia

setiap waktu sepanjang masa

duduk termenung berhati duka

laksana Asmara kehilangan seroja.

 

Bonda waktu tuan melahirkan beta

pada subuh kembang cempaka

adakah ibu menaruh sangka

bahawa begini peminta anakda?

 

Wah kalau begini naga-naganya

kayu basah dimakan api

aduh kalau begini laku rupanya

tentulah badan lekaslah fani.

 

 

Amir Hamzah